Monday, February 21, 2011

Mendidik Kanak-Kanak Membaca

Kata orang bijak pandai, "Kunci untuk mendapat pengetahuan adalah daripada pembacaan dan penulisan."

Kepada kanak-kanak, keupayaan membaca dan menulis sejak dari usia tiga tahun merupakan satu kelebihan kepada diri sendiri dan kebanggaan kepada keluarga.

Minat membaca kanak-kanak ada kaitan rapat dengan keupayaan mereka berbahasa.

Secara umumnya, kanak-kanak boleh membaca dengan lancar akan suka pada buku seterusnya menjadikan aktiviti membaca sebagai satu hobi yang menarik.

Kanak-kanak patut diajar membaca ketika kecil lagi

Ketika berusia 18 bulan, kanak-kanak sudah boleh diperkenalkan kemahiran membaca secara beransur-ansur. Unsur utama yang perlu diberi penekanan ialah kesedaran umum mengenai bunyi-bunyi perkataan dan penggunaannya dalam situasi seharian.

Contohnya perkataan "mama" dan "papa".

Kedua-dua perkataan ini boleh ditulis dan diperkenalkan kepada kanak-kanak kerana kekerapan penggunaannya.

Apabila kanak-kanak meningkat usia 3 hingga 4 tahun, mereka sebenarnya berada dalam peringkat pembinaan bahasa yang pesat.

Menurut para pengkaji perkembangan kanak-kanak, perkembangan menyeluruh kanak-kanak ialah galakan untuk perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial dan bahasa.

Period yang paling kritikal untuk memperkenalkan kemahiran membaca kepada kanak-kanak ialah 0 hingga 3 tahun. Ibu bapa atau guru yang bijak akan sensitif dengan perkembangan kanak-kanak pada masa ini kerana :

Umur 1 ½ hingga 3 tahun adalah peringkat yang paling sesuai untuk belajar dan mengingat maklumat. Kanak-kanak yang diberi kemahiran membaca pada peringkat usia ini akan menyerap jauh lebih banyak pengetahuan berbanding kanak-kanak yang tidak tahu membaca.
Semasa membaca, selalunya kita akan mengingat perkataan yang disebut serentak dengan perkataan yang bertulis. Begitulah juga kanak-kanak. Jika berusia 3 tahun dapat membaca, tentulah kemahiran membaca akan mempercepatkan proses pemahaman bahan bacaan yang dibacanya.
Kanak-kanak sangat lasak ketika berumur 2 hingga 3 tahun kerana mereka sangat dahagakan pengetahuan. Ibu bapa atau guru dapat mengesan perubahan ini dengan mengamati pertanyaan kanak-kanak seperti, "Ni apa?" atau "Apa tu?" Ujian menunjukkan kanak-kanak sejak dari umur 2 hingga 12 tahun bertanya sehingga 80 peratus daripada percakapan mereka. Apabila ke sekolah menengah, pertanyaan telah berkurangan sehingga 40 peratus.
Kanak-kanak belajar membaca ketika masih kecil biasanya lebih cepat bertindak dan lebih faham membaca berbanding kanak-kanak yang belajar membaca semasa di sekolah.

Sebabnya ialah kanak-kanak belajar membaca dengan senang hati dan memahaminya seperti mendengar orang bercakap manakala kanak-kanak di sekolah belajar membaca dengan perasaan takut dan membaca diajar sebagai mata pelajaran yang berasingan.

Masalah yang menghalang minat membaca kanak-kanak

Setiap ibu bapa dan guru sememangnya mengingini kanak-kanak yang dapat membaca dengan lancar dan cepat.

Bagi pelajar-pelajar di sekolah rendah, mereka tidak dapat memahami apa yang disampaikan oleh guru disebabkan salah satunya kerana lemah keupayaan membaca.

Antara masalah yang sering membantutkan proses pembahasaan dan pembacaan kanak-kanak dan para pelajar ialah :

Tidak dapat membezakan bentuk, kedudukan, nama, turutan abjad dan sebutan huruf yang dilihat.
Tidak dapat mengingat ciri dan atribut huruf.
Tidak dapat mengaitkan sebutan setiap abjad apabila diadunkan menjadi suku kata dan perkataan.
Pengamatan penglihatan yang bercelaru apabila melihat perkataan tersusun rapi.
Tidak dapat membezakan bunyi huruf dalam ejaan kerana abjad tidak berkaitan langsung dengan sebutan.
Keliru dengan huruf seperti b dengan d, g dengan j dan j dengan z.
Tidak dapat bezakan simbol-simbol huruf.
Tidak dapat menterjemahkan bahasa baku kepada bahasa loghat untuk mengetahui tujuan dan maksud.
Kesan tidak tahu membaca

Tidak tahu membaca akan memberi masalah. Bermula dari awal lagi, masalah ini berlarutan sehinggalah mereka dewasa.

Keadaan ini tentulah mempengaruhi keupayaan untuk bersaing dan berjaya dalam hidup.

Pengaruhi minat belajar. Kesan yang agak ketara ialah dari aspek psikologi seperti rasa rendah diri, kurang yakin dan cepat mengalah.

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Yale menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai kepercayaan diri yang terhad tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah rendah dan situasi-situasi yang baru.

Mereka juga sukar belajar menulis dan membaca berbanding dengan rakan-rakan sekelas yang lain.

Tidak mahu belajar. Bagi mata pelajaran yang sukar seperti sains dan matematik, mempelajarinya adalah suatu bebanan. Lama-kelamaan timbul rasa jemu dan terus tidak lagi minat untuk belajar.

Bukan sahaja sains dan matematik tetapi mungkin semua mata pelajaran.

Belajar dalam keadaan tertekan dan tidak khusyuk. Tanpa kata-kata pujian dan rangsangan, proses belajar akan berada di bawah tekanan dan hilang keseronokan.

Apa yang berlaku, kanak-kanak belajar kerana takut dan dipaksa bukannya kerana hendak belajar.

Kurang motivasi dan semangat berlumba-lumba.

Apabila tidak dapat membaca dan memahami perkataan, keinginan untuk membaca perkataan-perkataan seterusnya akan menurun dan mengurang.

Keadaan ini tentulah merugikan diri mereka sendiri dan ibu bapa terpaksalah memujuk supaya semangat dan minat untuk membaca dapat dipulihkan kembali.

Bagaimana kanak-kanak belajar membaca?

Pelbagai kaedah yang digunakan oleh kanak-kanak untuk mempelajari bahasa mengikut peringkat umur.

0 hingga 2 ½ tahun

mula mengetahui dan memahami bahasa yang dipertuturkan oleh ibu bapa ketika berusia 18 bulan.
belajar bahasa dengan mengumpul perkataan.
kaedah belajar ialah melalui rangsangan deria pendengaran secara langsung dan tidak langsung.
rangsangan membaca ialah memperkenalkan buku-buku yang mengandungi banyak gambar dan berwarna-warni.
kosa kata berkembang sehingga 270.
2 ½ hingga 4 ½ tahun

peringkat kritikal dalam proses belajar bahasa.
terbentuk satu unit bahasa dalam otak secara berasingan.
perkembangan bahasa akan membantu perkembangan mental dan sosial.
kanak-kanak belajar membaca dengan memperkenalkan huruf bersama gambar.
pada peringkat ini, kesediaan membaca masih belum terbentuk sepenuhnya dan ibu bapa harus bersabar semasa membimbing anak-anak mereka.
mampu mengingat sehingga 1500 kota kata.
4 ½ hingga 7 tahun

perkembangan otak memasuki fasa terakhir.
kanak-kanak sudah menunjukkan minat dan kesediaan membaca dengan mengenali banyak perkataan dan suka bertanya serta melihat gambar.
corak pengajaran ialah mendedahkan kepada persekitaran seperti membezakan bunyi-bunyi binatang atau kenderaan; cara ini dapat melatih kanak-kanak meningkatkan daya pendengaran mereka.
mampu mengingat sehingga melebihi 4500 kosa kata.
Walau bagaimana pun sesetengah kanak-kanak masih belum dapat membaca biarpun umur semakin meningkat.

Keadaan ini mungkin disebabkan mereka tidak memahami tahap-tahap pengajaran bahasa yang betul.

Membantu kanak-kanak membaca

Mengajar kanak-kanak berminat dengan membaca adalah sangat penting.

Terdapat beberapa panduan yang mudah bagi melaksanakan usaha anda.

1.Jadikan membaca satu tabiat. Jemput kanak-kanak membaca dengan anda setiap hari. Bantu anak anda membaca dari kiri ke kanan dan memahami setiap perkataan yang dikatakannya, dari satu perkataan ke satu perkataan.
2.Bacakan buku yang sukai kanak-kanak berkali-kali. Mereka akan mempelajari perkataan baru dan mengingat cerita yang mereka sukai. Seterusnya akan diceritakan kepada rakan-rakannya pula.
3.Bacakan cerita dengan rentak perkataan yang berkaitan dan ulang beberapa kali.Contohnya perkataan "terkejut." Tunjukkan bagaimana mimik muka dan nada suara "terkejut" kepada anak anda. Tunjukkan perkataan demi perkataan sepanjang sesi membaca berkenaan.
4.Bincangkan perkataan baru dan buatkan mereka bermain-main dengan perkataan itu. Contohnya: Rumah yang besar ini adalah istana. Siapa yang kamu fikir akan tinggal di istana?
Jika ada gambar, tanya apa yang dilihat dan kaitannya dengan cerita berkenaan.

Bacakan buku yang mempunyai pelbagai jenis cerita kanak-kanak seperti kisah sirah nabi, kamus bergambar, puisi dan buku-buku bermaklumat yang bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak.

Sunday, January 23, 2011

SAWAN / EPILEPSI

Sejenis penyakit disebabkan gangguan dalam bahagian otak yang boleh berulang dalam bentuk serangan sawan. Ia boleh menyebabkan penderitaan yang serius , melibatkan lebih kurang 50 juta orang dari semua peringkat umur, terutamanya dalam peringkat kanak-kanak, remaja dan warga tua.


CIRI-CIRI

• Anak akan tidak sedar diri dan menyentak kedua-dua kaki dan tangan.
• Kadang-kadang anak mungkin boleh menjadi kejang atau menyentak satu atau lebih bahagian badan, seperti satu tangan atau satu kaki. Kekejangan boleh berlaku pada satu bahagian badan sahaja.
• Sawan demam jarang melebihi satu atau dua minit. Dalam kes dimana sawan melebihi 5 minit, kanak-kanak tersebut perlu di bawa ke klinik berdekatan.
• Semasa sawan, kanak-kanak mungkin tercedera (akibat jatuh) atau mungkin tercekik makanan/air liur di dalam mulut.
• Kebanyakan kanak-kanak dengan sawan demam mengalami suhu badan tinggi melebihi 38.5C
• Kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi (epilepsi atau "sawan babi" adalah kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam).
• Kebanyakan sawan demam berlaku pada hari pertama kanak-kanak demam

SINDROM DOWN

Sindrom Down ialah penyakit keturunan disebabkan oleh kromosom tambahan pada kromosom nombor 21 yang terdapat pada seseorang kanak-kanak. Tiga salinan kromosom 21 (biasanya hanya dua salinan) terdapat dalam setiap satu sel.Penyakit ini juga dikenali sebagai Trisomy 21. Kanak-kanak yang terlibat lahir dengan ciri-ciri fizikal dan boleh juga mempunyai masalah-masalah kesihatan yang berkaitan dengannya.

Nota :
Sindrom bermakna kehadiran sekumpulan gejala dan tanda yang boleh menunjukkan kepada sesuatu penyakit
Sindrom ini mengambil nama seorang doktor Inggeris bernama Dr. Langdon Down, orang pertama yang menjelaskan penyakit ini pada tahun 1866

Antara punca-punca Sindrom Down ialah Ibu yang melahirkan berumur 35 tahun ke atas. Faktor genetik juga menyumbang kepada Sindrom Down. Pemakanan ibu semasa mengandung sedikit memberi kesan.

CIRI-CIRI


1.Muka yang hampir sama
2.Tubuh yang pendek
3.Kepala bersaiz kecil
4.Raut wajah yang rata dengan kedudukan mata sedikit ke atas
5.Kulit berlipat di bahagian mata.
6.Lidah terjelir
7.Leher pendek dan besar.
8.Satu garis lurus di tapak tangan, tangan yang besar, jari tangan yang pendek dan jurang yang 9.besar di antara ibu jari dengan jari kedua kaki.
10.Pertumbuhan yang lambat.
11. Kecacatan mental yang ringan atau sederhana
12. Tidak dapat bertutur dengan jelas kerana lidah tebal dan pendek.

AUTISME

DEFINISI

: keadaan yang meyebabkan kanak-kanak menumpukan perhatian dalam dunianya sendiri. Ia berlaku kepada kanak-kanak di antara 1-2 orang dalam 1000 dan ia terjadi 4 kali lebih kerap di kalangan kanak-kanak lelaki.

CIRI-CIRI

1. menghadapi masalah komunikasi, interaksi sosial, pemikiran dan emosi serta berkaitan IQ
2. mempunyai IQ tinggi ini biasanya cukup bijak di sekolah terutama dalam bidang yang membabitkan kekuatan hafalan tetapi apabila menyentuh aspek bahasa, mereka agak lemah
3. tidak pandai bergaul dengan rakan sebaya tetapi mereka mempunyai kemahiran yang begitu baik dalam bidang muzik, lukisan dan matematik.
4. pertuturan yang tidak mempunyai makna untuk difahami oleh orang lain.
5. sering meniru perkataan-perkataan yang disebut oleh orang lain dengan hanya menyebut perkataan di hujung ayat sahaja (echolalia)
6. tidak dapat memahami apa yang disebut oleh orang lain dan ada ketikanya mereka mungkin dapat bercakap tetapi tidak menggunakan yang sepatutnya untuk berkomunikasi
7. mereka mungkin tidak boleh bertutur langsung, boleh bertutur atau boleh bertutur dengan bahasa yang hanya difahami mereka sendiri.
8. suka melakukan sesuatu perkara secara berulang kali, gemarkan kepada ketepatan dan persamaan dalam semua hal termasuklah mengulang-ulang sesuatu pertanyaan atau perkataan.
9. tidak berkebolehan untuk bertentang mata dengan orang lain atau sering memandang sipi, tidak dapat melahirkan perasaan menerusi senyuman, masam atau mengerutkan muka.
10. lebih suka bersendirian atau berada dalam dunia mereka sendiri serta tidak tahu mengawal perasaan dan ada ketikanya menjadi agresif atau terlalu aktif.

MASALAH PENGLIHATAN

DEFINISI :
Cahaya melalui kornea (bahagian lutsinar di mata) dan lensa sebelum jatuh ke atas retina (retina ialah lapisan yang melitupi bahagian belakang mata dan mengandungi urat saraf). Mata perlu membiaskan cahaya supaya imej yang jelas dapat difokuskan ke atas retina. Rabun mata bermaksud mata tidak dapat membiaskan cahaya dengan baik dan ini menyebabkan penglihatan menjadi kabur.


Tanda-tanda rabun mata

1) Rabun dekat(myopia)
Objek dekat boleh dilihat dengan jelas tetapi objek jauh menjadi kabur
Kanak-kanak mungkin akan mengecilkan mata apabila cuba melihat objek yang jauh
Kanak-kanak sekolah tidak dapat melihat papan hitam dengan jelas
Kanak-kanak mungkin meletakkan buku dekat ke muka ketika membaca

2) Rabun jauh(hyperopia)

Objek dekat menjadi kabur tetapi objek jauh boleh dilihat dengan jelas
Kanak-kanak mengalami masalah ketika membaca atau menulis
Kanak-kanak mungkin akan mengadu mata menjadi penat setelah membaca selama beberapa jam
Kanak-kanak dengan rabun jauh juga boleh juling

3)Astigmatism

Objek dekat dan jauh kelihatan tidak sempurna dan kabur.
Kanak-kanak akan mengadu mata menjadi penat dan sakit kepala
Penglihatan yang kabur ini mungkin lebih cenderung dalam arah yang tertentu sahaja
Kanak-kanak biasanya boleh melihat garisan menegak lebih jelas dari garisan melintang, atau kadangkala sebaliknya

Selain kabur penglihatan, apakah masalah lain yang mungkin timbul?
Mata merasa penat dan sakit kepala
Isu keselamatan : contohnya, apabila menunggang basikal, kanak-kanak yang mempunyai masalah rabun mata yang serius boleh membahayakan dirinya dan orang lain
Tidak dapat hidup seperti kanak-kanak normal dan mungkin menjejaskan kualiti hidup
Rabun dekat yang terlalu serius akan meningkatkan risiko retina tercerai dari bahagian mata (retinal detachment) dan ini boleh menyebabkan buta.

MASALAH PENDENGARAN

Mereka yang mengalami masalah ini tidak dapat mendengar bunyi dengan jelas. Gangguan seperti ini boleh diperolehi pada tahap sedikit di mana bunyi pertuturan didengar lebih perlahan, sehingga pada tahap kepekakan yang sangat teruk.

CIRI-CIRI MASALAH PENDENGARAN

Kurang memberi perhatian.
susah mengikut peraturan.
tidak aktif dalam perbincangan.
selalu berkhayal.
perlukan bantuan rakan.
cara percakapan yang ganjil.
ada masalah kesihatan.

JENIS MASALAH PENDENGARAN

1 Hilang pendengaran jenis konduktif

Bunyi tidak dapat bergerak dari telinga luar ke telinga dalam secara efisien kerana sumbatan atau kerosakan pada laluan ini. Ini menyebabkan bunyi menjadi perlahan dan tidak jelas. Kehilangan perdengaran jenis konduktif selalunya boleh dipulihkan secara perubatan atau pembedahan.

2 Hilang Pendengaran jenis sensori neural

Masalah ini disebabkan oleh kerosakan telinga dalam atau laluan saraf pendengaran ke otak. Setengah bunyi kedengaran kurang jelas menyebabkan herotan dan masalah memahami pertuturan. Masalah pendengaran ini selalunya kekal. Walu bagaimanapun ia dapat dibantu dengan alat batu pendengaran.

3 Hilang pendengaran jenis campuran

Kombinasi dari hilang pendengran jenis konduktif dan sensorineural.


PERINGKAT-PERINGKAT MASALAH PENDENGARAN

Ringan: Keupayaan untuk mendengar bunyi antara 25dB - 40 dB. Kanak-kanak boleh mendengar bunyi-bunyi pertuturan dalam jarak yang dekat dan berupaya untuk berkomunikasi dengan orang yang normal.
ii. Sederhana: Keupayaan untuk mendengar bunyi antara 41 dB - 60dB. Kanak-kanak perlu diberi bantuan alat bantu pendengaran dan terapi pertuturan.
iii. Sed. Teruk: : Keupayaan untuk mendengar bunyi antara 61 dB - 70 Db
Kanak-kanak sukar untuk mendengar bunyi- bunyi Pertuturan dan pertuturan kanak-kanak ini tidak jelas kerana pengalaman yang terhad.
iv. Teruk : Keupayaan untuk mendengar bunyi antara 71 dB - 90 dB. Pada tahap ini kanak-kanak sukar untuk memperolehi pertuturan.
v. Amat Teruk:
Keupayaan untuk mendengar bunyi 91 dB dan ke atas . Kanak-kanak sukar untuk mendengar, bertutur dan memerlukan alat bantuan pendengaran serta terapi pertuturan. Pada tahap ini juga, kanak-kanak ini memerlukan bahasa isyarat untuk tujuan berkomunikasi.

HYPERAKTIF

DEFINISI :

Banyak terjadi pd kanak-kanak lelaki. Ia melibatkan 3 jenis kepayahan :
• Kurang tumpuan
• Hiperaktif
• Menurut kata hati (Impulsiviti)

CIRI-CIRI

a) Tidak memberi tumpuan
i- gagal menyiapkan tugasan
ii- tidak mengikut arahan
iii- sukar menumpukan perhatian pada satu-satu aktiviti

b) Impulsif
i- bertindak tanpa berfikir
ii- sukar mengendali satu-satu aktiviti
iii- perlu beri perhatian yang lebih
iv- sukar menunggu giliran

c) hiperaktif
i- berlari ataupun memanjat sebarang objek
ii- sukar duduk di suatu tempat dengan tenang
iii- sentiasa aktif sepanjang masa